APA ADA DENGAN PUTRAJAYA??


(Semiotik ialah ilmu untuk memahami cara manusia berhubung antara satu
sama lain dengan menggunakan tanda, simbul dan signal. Ilmu semiotik ini
muncul bila manusia ingin memahami tanda dan makna bangunan hasil dari
seni bina. Ilmu ini juga digunakan untuk memahami dan mengkaji
gambar/lukisan/filem. Teori filem mis en scene - atau apa yang didalam
bingkai - hanya dapat difahami melalui pendekatan semiotik.)

Putrajaya telah dinobatkan sebagai ibu kota kepada Malaysia. Sama seperti
Canberra, Islamabad, New Delhi atau Brazilia - semua kota-kota ini direka
secara terancang, untuk dijadikan ibu kota baru. Apa yang menarik terhadap
kota-kota ini ialah ianya dibangunkan secara artifisial - tidak natural - seperti kota-kota yang terdahulu.

Kota-kota tua dan kuno bangun secara tersendiri kerana kepentingan
ekonomi manusia. London, Paris, New York, Lisbon, Athens, Baghdad,
Melaka, Praque dan termasuk Kuala Lumpur bangun berhampiran dengan
arus air - jalan asal manusia mecari penghidupan dan perniagaan. Atau kota dibangunkan dipersimpangan jalan/lorong perniagaan kuno seperti Mekah,
Kabul, Kandahar, Peshawar, Samarra atau Xian. Justeru semua kota-kota ini
membangun secara natural kerana keperluan manusia untuk mencari dan
merayakan kehidupan.

Kehidupan dan tamadun manusia yang terdahulu dari kita bergantung pula
kepada musim alam semula jadi. Dalam keadaan ini manusia akan mendirikan
didalam kota-kota ini tanda dan simbol kepada Yang Esa. Bangunan
-bangunan suci seperti gereja, citadel, kuil, masjid atau arca akan didirikan
untuk memohon keselamatan dan limpah kurnia yang Maha Esa.

PENGAJARAN KOTA KUNO


Di kota kuno Roma atau kota Greek kuno seperti di Athens didirikan 'patheon'
(kiri) sebagai tanda manusia bersujud kepada Yang Esa. Di tebing sungai
Tagus, di Portugal didirikan patung Nabi Isa sebagai tanda penyembahan
untuk keselamatan setiap kapal yang meninggal kan kota Lisbon.

Bagitu juga disebuah pulau kecil dihadapan kota San Sebastian, di negara
Basques Sepanyol, tersergam patung Isa dari Nazareth sebagai tanda
sujudnya warga kota terhadap agama mereka.
Bagitu juga dengan kota Venice dengan gereja wali Markus yang kudus. atau
kota Paris dengan gereja Hati Suci yang angkuh tegak berdiri diatas bukit
yang melindungi warga kotanya. Kota arab/Islam kuno berpusat/bermula dari makam atau masjid. Dikota-
kota ini seluruh jalan/lorong akan membawa warganya ke wilayah suci ini.
Kota Mekah dengan Kaabah, kota Najaf dengan makam Hussein/Hassan ,
Delhi Lama bermula dengan Masjid Merah, di Marakesh di sebelah Jamaah
al-fana (Medan Roh Berkumpul) wujud sebuah masjid tua yang menjadi
pusat kota ini.
Bangunan-bangunan ini semuanya memiliki bahasa dan nahu sebagai tanda
pengucapan untuk difahami oleh warga yang terkemudian. Dari ilmu semiotik semua ini adalah tanda dan makna bagaimana manusia
merendahkan diri kepada dewa, kepada tuhan atau kepada pencipta
yang Maha Esa.

KEKAGUMAN PUTRAJAYA

Seratus tahun dari hari ini apa yang akan dapat dibaca dari nahu , bahasa dan
ayat pengucapan ibu kota Putrajaya?
Pemilihan kota Putrajaya dilakukan tanpa banyak perundingan. Tidak ada
konsultasi didalam perdebatan di parlimen apatah lagi pandangan dari
badan-badan bukan kerajaan. Semuanya dilakukan atas keinginan dan berahi
seorang manusia yang bernama Mahathir Mohamad. (Pada 1 haribulan
November ini nama Mahathir Mohamad ini akan ditambah dengan huruf B -
Bersara.).
Warga tidak pernah diberitahu secara jelas dan terperinci tentang
belanjawan (atau lebih disenangi pada masa ini dengan perkataan baget) atau
harga untuk mendirikan kota baru ini. Yang didengari oleh warga hanyalah
tuduhan dari pihak pembangkang tentang harga sebuah istana - yang
kemudianya dengan berkungfu lidah telah dijawab oleh perdana menteri.

Kungfu lidah ini pun tidak dapat memberikan apa-apa penjelasan yang dapat
mententeramkan jiwa warga kota dan rakyat negara ini.

Sesiapa yang sampai ke Putrajaya pasti akan 'kagum' melihat pembangunan
bangunan. Untuk mak cik Felda atau professor atau ahli akademia kangkong,
Putrajaya adalah contoh yang amat senang untuk menerangkan makna
kejayaan 'pembangunan'. Rombongan demi rombongan akan dibawa untuk
melihat 'kejayaan'.

Bangunan yang tersergan besar secara kulitan pasti memberi makna
kejayaan pimpinan Mahathir Mohamad. Maka makcik dan pak cik dari Felda
ternganga mulut mereka dan akan berterima kasih sambil dan bersyukur
diatas pimpinan Mahathir.

Untuk warga yang lebih teliti atau pelajar seni bina dan pengguna ilmu
semiotik, pasti mereka akan melihat disebalik bangunan yang tersergam ini
ada tersirat konsep fascist. Semua bangunan-bangunan kerajaan di sekitar
kota ini bercirikan seni bina fascist. ( Seni bina fascist ini adalah satu jalur
pemikiran bangunan yang muncul diera zaman Hitler dan diera Stalin di
USSR. )

Ciri utamanya ialah keangkuhan bangunan itu sendiri - tersergam dan
mengancam para warga yang melihatnya. Bangunan-bangunan berciri fascist
tidak mesra rakyat, terisolasi dari budaya alam sekitarnya dan tidak memiliki
perspektif yang mesra untuk dipandang.

RAKYAT TERPISAH

Lihat saja pejabat/istana perdana menteri, untuk pelajar seni bina atau
sesiapa saja yang mengamati bangunan ini pasti akan dapat merasakan
kejanggalan kubah bangunan ini. Kubah ini diletakkan seperti songkok kecil
kepada kepala yang besar. Kubah ini kelihatan tertengek songsang.
Kemungkinan kubah ini bukan muncul dari rekaan bentuk asal tetapi
dimunculkan untuk 'menyunatkan' Putrajaya agar dibaca sebagai
Melayu/Islam.
Dari bangunan istana perdana menteri ini warga akan melihat tangga turun
ke sebuah lebuh besar. Melintasi lebuh ini warga akan sampai ke sebuah
medan.

Medan ini betul-betul dihadapan istana. Medan inilah tempat rakyat berkumpul
dan untuk menyambut perdana menteri apabila beliau mencecah duli diatas
tangga di hari akhir bulan Oktober.
Perarakan pelbagai kontigen (baca menyembah duli) akan diadakan di lebuh besar untuk mengalu-alukan kemunculan perdana menteri dari istananya.

Jika ini bukan konsep fascist, apakah bahasa, nahu dan tanda ritual ini. Sikap
anti demokratik ritual ini dapat dilihat jelas. Rakyat disatu ruang yang
terpisah dari ruang yang memerintah. Si pemerintah dan juak-juaknya akan
tegak berdiri disatu ruang yang lebih tinggi.
Ruang ini bukan ruang yang dibuat untuk sementara seperti pentas di
Dataran Merdeka tetapi tangga yang kekal menghala ke istana perdana
menteri.

Louise ke 14, Hitler atau Stalin sendiri gagal untuk mendapatkan satu reka
bentuk istana peribadi seperti ini. Di Peking, raja Tiongkok kuno mendirikan
Kota Larangan. Raja hanya diberi mandat mendirikan tembok untuk
memisahkan istana baginda dari medan Tienanmen - medan tempat rakyat
berkumpul. Istana Kota Larangan ini didirikan pula tidak melebihi dari
ketinggian tempat rakyat berkumpul. Disekitar Kota Larangan dan medan
Tienanmen ini hanya ada satu bangunan yang tinggi ia itu bagunan tempat
rakyat bersidang - parlimen Republik Rakyat Tiongkok.

LAMPU JALANRAYA

Di Putrajaya medan rakyat ini tidak menjadi medan rakyat berkumpul secara
kekal tetapi menjadi medan berhala kereta. Ini kerana warga dinegara kita ini
dididik untuk 'menyembah' kereta maka medan ini menjadi medan berhala
yang kekal abadi.

Dari medan berhala kereta dihadapan istana jika meluncur ke bawah akan
ditemui sebuah masjid. Amat jelas nahu, bahasa, tanda dan maknanya
dimana Masjid ini dibuat. Masjid ini didirikan dikawasan yang lebih rendah
dari istana perdana menteri. Sama lah seperti masjid al-Rahman di Univesiti
Malaya yang kedudukannya lebih rendah dan hina dari dari lebuh berhala
kereta.

Ligarlah Putrajaya, mata akan terperanjat apabila melihat reka bentuk tiang lampu
yang bagitu kacau bilau dan sampa larau motif dan unsur yang
mempengaruhi. Setiap jalan memiliki reka tiang lampu bentuk yang berbeza -
ada yang bermotif wau bulan, ada yang bermotif avant garde, ada yang
bermotif katholik.

Menurut yang empunya surah ini terjadi apabila Mahathir Mohamad terlihat
satu tiang lampu di Santiago Chile. Kerana baginda perdana menteri
perkenan maka berahi perdana menteri wajib dipenuhi. Sayangnya tidak
diketahui pula tiang lampu bentuk mana yang diberahikan oleh perdana
menteri.

Maka situkang bodek, untuk menyelamatkan diri terus membuat semua reka
bentuk tiang lampu yang wujud dalam dunia ini termasuk yang di Santiago.
(Inilalah surah lampu Putrajaya kita!)Putrajaya ini begitu angkuh sekali dan kelihatan anti-mereka yang miskin dan
kurang mampu justeru tidak banyak disediakan kerusi percuma untuk rakyat
biasa duduk berehat atau meleser.

Jika ingin berehat warga wajib duduk dicafe-café yang secawan kopinya senilai
dengan harga sekilo ikan kembung. Nahu dan bahasa kota ini betul-betul
merayakan keangkuhan kapitalis dan modal asing kerana disekeliling kawasan
masjidnya sendiri dikelilingi oleh rumah macdogal dan star buck
tempat para rentier capitalist mencari untung.


ISTANA LIPAS

Putrajaya bukan saja tidak memiliki nahu dan bahasa untuk berendah diri
seperti kota Athens dengan patheonnya; kota ini juga lupa kepada konsep
negara raja berperlembagaan.
Justeru istana agungnya terletak agak jauh disatu bucu yang tidak menonjol.
Parlimen tempat wakil rakyat bersidang tertinggal disatu kawasan yang lain.
Ini bermakna kota ini memusatkan kuasa dan terpisah dari kuasa rakyat.

Amat berbeza dari Delhi Baru atau Canberra dimana kota ini merayakan
parlimenya sebagai sebahagian dari pusat kota. Jelas bahasa, nahu dan tanda
yang muncul dari Putrajaya ialah parlimen tidak mustahak yang mustahak
hanyalah istana dan kuasa perdana menteri.

Kota ini adalah kota penyembah berhala kereta, justeru sesiapa yang tidak
memiliki berhala ini pasti akan mendapat kesukaraan untuk pergi dari satu
jabatan ke satu jabatan yang lain. Lupakan saja ruang untuk berjaan kaki atau
berbasikal- semua ini tidak di wujudkan.

Akhir dari lebuh besar dihadapan istana jika dipandang akan kelihatan
sebuah bukit. Dari jauh kelihatan diatas bukit ini seekor lipas. Dibukit ini
sewajibnaya didudukan masjid atau istana Yang Dipertuan Agong tetapi yang
tercegat di atas bukit ini hanyalah saekor lipas.

Didalam perut lipas inilah nanti lipas-lipas kecil dari pelbagai negara arab/Islam akan mengadakan persidangannya. ( lipas2 ini mengaku mereka benteng hadapan islam )
Lipas-lipas ini adalah lipas piliharaan yang akan menjalar dan memungut dan
menjilat serpihan-serpihan makanan yang ditinggalkan oleh Mc D dan star buck.

lipas- lipas ini akan merayap di seluruh pelusuk bumi menjaja maruah umat islam.
celaka la ke atas mereka...ya tuhan.
lipas-lipas busuk inilah punca kita islam mundur...

(Jika ditakdirkan Putrajaya ditenggelamkan oleh muntahan gunung berapi
dan seratus tahun kemudian para arkeloji menggalinya kembali maka inilah
bahasa, nahu , tanda dan makna kota yang diduduki oleh para lipas.)

-ilmu itu adalah penting..islam mahukan umatnya mendalami ilmu hingga denyutan nadi yg terakhir....bacul lah mereka yang cetek ilmunya....bangsat lah keturunannya jika ia tidak bisa
menguasai ilmu...biar miskin harta, jgn miskin ilmu...

0 comments: (+add yours?)

Post a Comment